Pages

Lokasi Lokasi Menarik - Telok Mas

Lokasi Lokasi menarik yang terdapat di Telok Mas adalah seperti yang berikut

Telok Mas syurga ikan bakar

Telok Mas mendapat namanya menerusi kisah seorang nelayan yang menemui rantai emas sewaktu mengangkat jaring yang menjadi rentetan sebuah kampung diberi nama Kampung Telok Mas.
Peristiwa itu berdasarkan cerita orang tua zaman dahulu kala yang turut dikaitkan dengan kisah pahlawan Melayu seperti pendekar Raja Haji yang pernah berjuang menentang penjajahan Inggeris berasal dari kampung itu.
Telok Mas yang terletak kira-kira 20 minit dari bandar raya ini, cukup terkenal dengan ikan bakar.
Siapa yang tidak mengenali Alai, Medan Ikan Bakar Pernu di muara Sungai Umbai, Muara Sungai Duyung dan Crystal Bay yang berada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas kerana ia menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk menikmati juadah ikan bakar segar dan menyelerakan.
Menikmati hidangan ikan bakar di beberapa gerai di Telok Mas cukup unik kerana hidangannya cukup ringkas iaitu ikan bakar disajikan dengan nasi lemak selain sambal kicap yang menjadikannya cukup menyelerakan.
Anda boleh memilih sama ada ikan jenahak, siakap, gerut-gerut, pari, kembung, merah, udang, sotong, kupang, kerang, lala dan sebagainya untuk dijadikan hidangan menyelerakan.
Daripada sebuah kampung terpencil, Telok Mas semakin berkembang pesat dengan kebanyakan penduduk di sini adalah terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.
Penduduk Telok Mas terkenal dengan sikap mesra, bersopan-santun dan berbudi-bahasa selain bersikap tolak-ansur antara penduduk yang wujud menjadi pegangan bagi memelihara perpaduan.
Seperti kata pepatah 'Hidup bermuafakat membawa berkat' secara tidak langsung amalan ini mewujudkan suasana aman dan harmoni kepada penduduk kampung di sini.
Di bawah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Latiff Tamby Chik yang diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008, Telok Mas pesat membangun dan tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
Kemudahan asas cukup lengkap dengan prasarana yang telah dibangunkan oleh kerajaan negeri dan ditadbir oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Kemudahan yang sedia ada di bawah Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) seperti kemudahan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, masjid, surau dan sekolah.
Turut disediakan ialah dewan serba guna, balai raya, pejabat pos, masjid dan surau.
Kini terdapat empat buah sekolah menengah, tujuh sekolah rendah dan sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) selain Sekolah Menengah Agama Sharifah Rodziah dan Sekolah Menengah Telok Mas yang dijadikan sebagai sekolah Bistari.
Kemudahan yang disediakan dinikmati penduduk di Pernu, kampung Telok Mas, Bukit Punggor, Alai, Permatang Pasir, Tambak Sebelong, Padang Temu, Bukit Pegoh/Bukit Larang dan Ujong Pasir.
Dari sektor pelancongan pula, Pulau Besar dipercayai oleh sesetengah orang sebagai pulau keramat menjadi mercu tanda tarikan orang ramai ke Telok Mas.
Banyak legenda yang dikaitkan dengan Pulau Besar menjadikan ia tarikan pelancong tempatan dan luar negara khususnya pelancong berketurunan India Muslim, Malaysia dan Singapura.
Untuk sampai ke pulau berkenaan orang ramai perlu menaiki bot dari jeti Sungai Umbai.
Ia memakan masa perjalanan meredah laut Selat Melaka selama 30 hingga 40 minit untuk sampai ke pulau yang dahulunya dikunjungi ribuan manusia untuk meraikan bulan Safar.
Dari segi ekonomi penduduk di DUN Telok Mas pula dijana daripada pelbagai bidang industri seperti pertanian, keusahawanan, pelancongan, perkilangan dan perikanan.
Pembinaan Bazar Telok Mas membolehkan penduduk di sini membuka perniagaan seperti kedai kraf tangan dan kedai kuih-kuih tradisional seperti dodol, inang-inang dan sebagainya.
Pekan Telok Mas pula menempatkan para peniaga dan usahawan kecil di bawah program Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Terdapat beberapa buah kilang dijadikan sebagai tempat pemprosesan produk-produk penduduk Telok Mas seperti tilam, sabun, sos dan sebagainya.
Secara tidak langsung kilang itu membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda dan belia untuk menjana pendapatan mereka.
Industri perikanan turut menjadi tunjang utama ekonomi penduduk setempat dengan terbinanya Hab Perikanan Kecil Sungai Duyong bernilai RM38 juta yang dijangka siap sepenuhnya April ini.
Hab berkenaan menempatkan kemudahan meletak bot buat lebih 120 nelayan di muara Sungai Duyong di samping tempat pendaratan hasil tangkapan.
Selain hab perikanan di sungai Duyong, tiga lagi jeti nelayan yang sedang dinaik taraf ialah Pangkalan Pernu, Kuala Sungai Pungor, Alai dan Tanjung Nibong.
Kerja-kerja menaik taraf yang dilakukan ialah kemudahan jeti lebih sempurna untuk nelayan meletakkan bot, pondok rehat, tempat memunggah tangkapan ikan dan sebagainya.


No comments:

Post a Comment